Khazanah Abu Zulfiqar

Himpunan Seluruh Tulisan, Gambar, Audio & Video Al-Faqir Abu Zulfiqar Al-Amsyari


    Benarkah Socrates Itu Luqman Al-Hakim?

    Share

    Admin
    Admin

    Posts : 63
    Join date : 2011-12-23
    Location : Perak Darul Ridzuan

    Benarkah Socrates Itu Luqman Al-Hakim?

    Post  Admin on Fri Dec 30, 2011 1:59 pm

    PERSOALAN:

    Dari buku terbaru Mohamad Alexander, beliau menyatakan keyakinan bahawa Socrates adalah individu yang disebut sebagai Luqmanul Hakim dalam Al-Quran. Hujahnya ialah:-

    Socretes ialah guru kepada Plato ....Socretes ialah guru yang bijak yang dihukum mati dengan meminum racun pada tahun 399sm di Athen. Ini kerana beliau menyebarkan ajaran monoteisme"Tuhan itu satu"(Laa Ilaha Illallah). Ia adalah kepercayaan yang bertentangan dengan pagaisme politeisme Yunani pda ketika itu. Ajaran Socrates dianggap oleh penguasaAthen sebagai ajaran subversif yang berpotensi meracuni fikiran generasi muda Athens.Akhirnya,Socrates dihukum mati.


    Dengan menganalisis teks-teks Yunani berkenaan kisah Socrates, maka penulis mndapati Socrates ialah ahli falsafah yang bijak. Penulis berpndapat, Socrates adalah individu yang dikenali sebagai Luqman al-Hakim dalam al-Quran.
    Analisis linguistik iaitu daripada aspekfonologi/fonetik (ilmu bunyi/ suara bahasa.ilm ashwat)menunjukkan nama "Luqman" berkemungkinan terhasil daripada perkataan....

    * Laqman(menelan)
    * Luqoman(beberapa suapan)
    * Luqmatu(sesuap)
    * Laqimun(yang menelan)

    Dalam konteks ini, Luqman adalah gelaran bagi Socrates iaitu sesuai dengan takdirnya sebagai orang yang "menelan" racun, Jadi,Luqman dalam ALQuran adalah Socrates.'orang bijaksana dari Athens yang meminun racun. Hingga saat ini, iaitu sejak zaman nabi Musa (1281sm) hingga ke zaman Nabi Muhammad (632M) sejarah belum menemukan orang bijak yang dihukum mati dengan cara meminum rcun kecuali Socrates dari Athens sahaja.

    Jom kita bincang...anda rasa benar atau tidak?



    PANDANGAN SAYA:

    Wahab : Luqman ialah anak saudara Nabi Ayub.
    (Rasanya tak kena dengan Socrates)

    Muqatil : Luqman ialah sepupu Nabi Ayub.
    (Rasanya tak kena juga dengan Socrates).

    Ibnu Kathir : Luqman ialah seorang qadhi pada zaman Nabi Daud.
    (Tak kena dengan zaman Socrates)

    Al-Alusy : Banyak pendapat mengatakan dia hidup pada zaman Nabi Daud.
    (Tak kena dengan zaman Socrates)

    Ibnu Qutaibah : Luqman seorang hamba Habsyi kepada seorang Bani Israil.
    (Tak kena dengan Socrates yang berbangsa Eropah)

    Jabir : Dia seorang yang pendek, pesek hidung dari keturunan Naubah (Sudan)
    (Tak kena dengan rupa dan bangsa Socrates)

    Imam Ahmad : Luqman ialah qadhi dalam kalangan Bani Israil zaman Nabi Daud.
    (Tak kena dengan zaman Socrates)

    Sufyan : Seorang habsyi tukang kayu.
    (Tak kena dengan rupa dan kerjaya Socrates)

    Mujahid : Bibirnya tebal, kakinya terbuka luas (kengkang).
    (Tak kena dengan wajah Socrates yang digambarkan orang)

    Riwayat Ibnu Abi Hatim, Ibnu Jarir : Lebih hitam daripada orang Sudan dan Mesir, berbibir tebal.
    (Tak kena dengan tempat kelahiran, bangsa dan rupa Socrates)

    Riwayat al-Auzaie : Kulit hitam, bangsa Naubah (Sudan) dan bibir tebal.
    (Tak kena dengan Socrates)

    Dari Khalid Ar-Rabie : Luqman seorang hamba Habsyi, tukang kayu.
    (Tak kena dengan Socrates)

    Sumber:
    Lelaki Misteri dalam Al-Quran
    Kisah Luqman al-Hakim & Kebijaksanaannya.
    oleh Muhammad Khair Ramdhan Yusuf.
    PUstaka Jasmin 2006.

    Saya juga pernah bahaskan sebahagian idea-idea Muhammad Alexander itu sebelum bukunya terbit lagi. Banyak pandangannya yang bagus-bagus tetapi ada juga yang tidak punya sandaran yang baik. Pada saya, dia gagal membuktikan Alexander the Great sebagai Zulqarnain dalam beberapa hal.

    Namun begitu, saya kagum dengan usahanya (* penemuannya tentang Qattarah Depression itu memang mengkagumkan, tahniah kepada Muhammad Alexander).
    Wallahualam.


    Socrates guru Plato.
    Plato guru Aristotle.
    Aristotle ialah guru Alexander Macedonia.

    Maksudnya salah satu sanad ilmu Aristotle ialah...
    Aristotle mengambil dari Plato yang mengambil dari Socrates.

    Umum tahu Aristotle menolak mazhab Plato dan Socrates.

    Jika benar Alex Macedonia itu Zulqarnain yang beragama tauhid, dan Aristotle juga beragama tauhid, maka agama Socrates MUNGKIN salah kerana Aristotle menolak mazhab Socrates.

    Jadi, bolehkah seorang yang tidak Muslim (iaitu Socrates) dinisbahkan kepada Luqman al-Hakim yang Muslim?


    Sandaran saya mengatakan Aristotle menolak mazhab Socrates dan Plato...
    "Kemudian Aristotle tidak menerima pendapat Plato dan Socrates serta orang-orang sebelumnya dari golongan Ilahiyyun ini, di mana dia menganggap mereka semua tidak bersih dan masih kekal dalam kekufuran dan bidaah."
    (Munqiz min adh-Dhalal karya Imam al-Ghazali)

    Berdasarkan ungkapan ini, ternyata Al-Ghazali juga menolak agama Socrates. Jadi, sesuaikah Luqman dengan Socrates?


    Sandaran saya mengatakan Al-Ghazali memandang mereka (iaitu ketiga-tiganya sekali... Socrates, Plato dan Aristotle) sebagai kafir:

    "...maka sewajarnyalah mereka itu dianggap kafir dan juga mengkafirkan pengikut-pengikut mereka..."

    'Mereka menjadi kafir sebelum sampai kepada ilmu-ilmu keTuhanan."
    (Munqiz min adh-Dhalal)

    Berdasarkan sedikit himpunan maklumat yang dikongsikan, secara peribadi saya (setakat ini) belum nampak kaitan antara Socrates dengan Luqman al-Hakim. Jika ada maklumat-maklumat tambahan yang kuat ataupun agak kukuh... tidak mustahil pandangan saya juga boleh berubah. Itu manfaatnya kongsi ilmu. Wallahualam.



    PERSOALAN:

    Alex, rase awak belum baca buku ni kot...muka surat 234 dinyatakan Alexander mula menganut agama tauhid apabila beliau tiba di Jerusalem sewaktu beliau masuk ke Kuil Yahudi dan bertemu Shimon Hatsaddik. Ini dirakamkan dalam Talmud Babylon, Chapter 7.


    Alex, apa pendapat sedara dengan dua hujah ini.
    1) Kajian linguistik terhadap nama 'Luqman'
    2) Wasiat Luqman seperti dalam Surah Luqman mempunyai isi yang sama dengan Wasiat Socrates dalam perbicaraan beliau sebelum dihukum. Dapat dilihat dalam Karya Plato iaitu Apology.


    PANDANGAN SAYA:

    Betul 110 blogspot, saya belum baca. Sebahagian maklumatnya didedahkan oleh seorang teman yang pernah ke majlis Muhammad Alexander tu. Masa tu bukunya belum terbit lagi.

    Secara peribadi, saya cenderung tidak bersetuju Alex Macedonia sebagai Zulqarnian (*sekiranya ada penemuan yang lebih kukuh, tidak mustahil pandangan saya berubah). Tulisan saya tentangnya entah bila la nak siap, sibuk mengalahkan PM ni.

    Antara sebahagian kecil sandaran saya menolak Alex ialah:

    Berdasarkan buku “Lelaki Misteri dalam Al-Quran- Iskandar Zulkarnain (bahagian pertama)” oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, saya memperolehi maklumat-maklumat berikut:

    Hasan al-Basri berkata: “Zulqarnain ialah seorang raja yang hidup selepas zaman (Raja) Namrud.”
    (Ulasan saya- Raja Namrud ialah orang yang membakar Nabi Ibrahim. Akhirnya dia mati akibat serangan serangga)

    Daripada Hasan al-Basri juga telah diriwayatkan bahawa Zulqarnain ialah seorang raja. Dia memerangi Namrud bin Kana’an.”
    (Ulasan saya- Sezaman dengan Namrud memungkinkan Maharaja Zulqarnain juga hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim)

    Sesetengah ahli tafsir menyatakan bahawa dia hidup selepas Namrud bin Kana’an. Al-Azraqi dan lain-lainnya menyebutkan bahawa Zulqarnain telah memeluk agama Islam dengan (melalui Nabi) Ibrahim al-Khalil, dan bertawaf bersama-samanya di Kaabah al-Mukarramah beserta (Nabi) Ismail as.

    Riwayat seperti ini turut dinyatakan oleh Syeikh al-Liji di dalam kitab tafsirnya yang menjelaskan bahawa Zulqarnain hidup pada zaman Ibrahim al-Khalil dan bertawaf di Kaabah bersama-sama dengan menteri atau pembantunya yang bernama Khidhir.

    Diriwayatkan daripada Ubaid bin Umair dan anaknya Abdullah serta lain-lain, bahawa Zulqarnain telah berjalan kaki untuk pergi menunaikan haji. Apabila berita kedatangannya itu sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim as, baginda pun terus pergi berjumpanya dan mendoakan untuknya, di samping mewasiatkannya dengan beberapa perkara.

    Dikatakan bahawa Zulqarnain datang dengan menaiki kuda. Dia berkata: “Saya tidak akan menunggang kuda di negeri yang ada Ibrahim al-Khalil (Al-Bidayah wa an-Nihayah, jilid dua, ms 108)

    Di dalam kitab Muhadarat Awa’il ada disebutkan bahawa Zulqarnain ialah orang yang pertama berjabat tangan dan memeluk Ibrahim as.

    Beberapa ahli sejarah yang boleh dipercayai menceritakan bahawa Ibrahim bertemu Zulqarnain di Tanah Suci Mekah, lalu Zulqarnain memeluk dan berjabat tangan dengan baginda. Baginda as memberinya tanda atau bendera. Zulqarnain mengikuti syariat dan millah Ibrahim as, dan menyeru menyeru manusia kepada hukum-hukum Allah.

    Menurut fakta yang tercatat di dalam kitab Syarah Aini... yang sahihnya ialah bahawa Zulqarnain hidup pada zaman Ibrahim al-Khalil as...

    Ibnu al-Qayyim berkata dalam Ighathah al-Lahfan tentang falsafah... (Alexander the Great) al-Macedonia ini ialah musyrik dan penyembah berhala. Tempoh antara beliau (Zulqarnain sebenar) dan al-Masih (Nabi Isa as) ialah 1900 tahun.
    (Ulasan saya- Maksudnya Maharaja Zulqarnain hidup sekitar 1900 tahun Sebelum Masehi. Pada zaman itulah diberitakan Nabi Ibrahim as hidup)


    Buku “Yakjuj & Makjuj- Bencana di Sebalik Gunung” oleh Muhammad Alexander pula memberikan kita maklumat berikut:

    Terdapat beberapa calon Zulqarnain, iaitu: 1. Zulqarnain yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim. Pendapat ini didukung oleh Ubaid bin Umair ( salah seorang tokoh di kalangan tabi’in).

    Maklumat-maklumat ini jika dikumpulkan sekali, memberikan kita satu kemungkinan besar bahawa Maharaja Zulqarnain itu memang hidup pada zaman Nabi Ibrahim as.

    http://myalexanderwathern.blogspot.com/2009/12/2-mencari-zaman-zulqarnain.html

    Ringkas cakap, zaman Nabi Ibrahim dengan zaman Socrates, Plato, Aristotle dan Alex Macedonia sangat jauh berbeza.



    PERSOALAN:

    Wisno Sasongko dalam bab-bab awal ada mengulas berkenaan pendapat ulama' besar dalam Islam, namun katanya ulama' tersebut berpendapat sedemikian disebabkan bacaan langsung terhadap text yunani. Beliau menggunakan dua kaedah 1) Content analysis 2) Sanad Analysis...walaupun karya tersebut mungkin dari Yunani, beliau tidak menerima bulat2 dakwaan mereka tetapi merujuk kepada dua method tersebut. Method yang digunakan Imam Bukhari dalam mengkelaskan hadis...



    PANDANGAN SAYA:
    1. Nama Luqman dipakai dan dikenali semasa dia masih hidup. Sedangkan kajian linguistik yang menisbahkan "Luqman" dengan "menelan", "menelan" dengan "menelan racun", dan "menelan racun" itu ialah Socrates... tentunya nama "Menelan" itu digunakan selepas Socrates mati menelan racun, bukan semasa dia masih hidup. Jadi saya belum nampak kaitan antara "Luqman/ Menelan" dengan Socrates.

    2. Wasiat tokoh-tokoh agama banyak yang sama. Itu tidak cukup kuat untuk menunjukkan pewasiat itu ialah orang yang sama. Saya pernah ketemu artikel yang membicarakan persamaan kata-kata Jesus dengan Buddha. Juga kata-kata Jesus yang sama dengan tokoh-tokoh agama Hindu. Tapi tentunya mereka bukan orang yang sama.

    http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/04/benarkah-socrates-itu-luqman-al-hakim.html

    Admin
    Admin

    Posts : 63
    Join date : 2011-12-23
    Location : Perak Darul Ridzuan

    Luqman Al-Hakim Bukan Socrates (bah. 1)

    Post  Admin on Fri Dec 30, 2011 2:02 pm

    HUJAH PERTAMA YANG MENGATAKAN LUQMAN IALAH SOCRATES


    Nama “Luqman” MUNGKIN berasal daripada perkataan “laqm”. Perkataan “laqm” dipercayai bermaksud “menelan”. Oleh kerana Socrates mati kerana menelan racun, MUNGKIN dialah Luqman al-Hakim. Perkataan “menelan” itu MUNGKIN bermaksud ataupun ada kaitan dengan “menelan sesuatu”, “menelan racun”, “menelan bukan dengan perasaan suka” dan sebagainya. Atas dasar inilah MUNGKIN Luqman itu tidak lain ialah Socrates yang menemui ajalnya dengan menelan racun. Kebetulan Luqman ialah seorang ahli hikmah, dan Socrates juga seorang ahli hikmah.



    PENJELASAN SAYA:


    1. Kaedah “Mungkin” Sekelompok


    Terlalu banyak MUNGKIN, maka cubaan mencari persamaan sebegini tidaklah kukuh (*hendaklah difahami bahawa kalimah 'tidak kukuh' bukanlah bermaksud ia tertolak mentah-mentah tetapi masih boleh dikategorikan sebagai hujah yang boleh diambilkira ataupun hujah yang lemah, cuma ia tidak kukuh). Kita tidak menolak kemungkinan, tetapi jika terlalu banyak mungkinnya itu, membuatkan hujah di atas sangat kurang kredibilitinya. Kaedah “mungkin” sesuai jika digunakan sesekali, bukannya berkumpul setempat sebagaimana dalam kes di atas.


    2. Siapa Sebenarnya Luqman Si Penelan?


    Perkataan “Luqman” memang berasal daripada perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan”, tetapi orang-orang Arab jahiliyyah tidak menujukan perkataan ini kepada Luqman al-Hakim yang disebut dalam al-Quran. Mereka menisbahkannya kepada seorang lelaki yang kuat makan dan gelojoh menelan makanannya. Kegelojohannya MENELAN makanan membuatkan mereka menyebutnya sebagai Luqman.


    Ada beberapa pepatah yang masyhur dalam kalangan masyarakat Arab ketika itu seperti:


    “Kuat makan lebih daripada Luqman.”

    “Bertambah rakus Luqman tanpa merasa kenyang.’

    “Bertambah rakus Luqman tanpa merasa kenyang dengan dua bekas dan lapan satu perempat.”

    “Lebih kuat daripada Luqman al-‘Aadi.”


    Bani Tamim terkenal sebagai kaum yang menyukai makanan. Seorang penyair Bani Tamim mengatakan:


    Sekiranya tidak ada seorang pun

    Yang meninggal dunia dari kaum Tamim

    Maka ia menggembirakan dirimu

    Kerana dia masih hidup

    Lalu dia akan datang

    Membawa BEKALAN PENUH DENGAN ROTI

    DAGING, TAMAR atau APA SAHAJA

    Yang dapat dilipat dalam pakaiannya.


    Engkau akan melihatnya

    Membuat lubang

    Di sekeliling kaki langit

    Agar dia dapat makan

    Kepala LUQMAN BIN ‘AAD.


    Semua perkara di atas berkisar tentang seseorang yang dipanggil sebagai Luqman kerana kerakusannya terhadap makanan. Dia jadi lagenda kerana kelahapannya.


    Perkataan “laqm” bermaksud “makan dengan cepat”. Ini pandangan al-Abidin. Apabila seseorang makan dengan gelojoh, maka dia kurang mengunyah tetapi lebih banyak MENELAN. Dari sinilah datangnya nama Luqman yang bermaksud “menelan dengan cepat.” Tidak ada kena-mengena dengan MEMINUM RACUN, apatah lagi jika cuba dikaitkan dengan Luqman al-Hakim ataupun Socrates.


    Cerita mulut ke mulut mengatakan Luqman Makan Cepat ini berusia panjang. Dia berasal dari kaum ‘Aad, iaitu kaum Nabi Hud (sebelum zaman Nabi Ibrahim). Kaum ‘Aaad terkenal dalam sejarah kerana peristiwa mereka dihancurkan oleh tentera Allah berupa angina rebut yang sangat dingin selama 7 malam 8 hari.


    Dikatakan Luqman Makan Gelojoh ini seorang yang jahat. Dia suka melakukan jenayah, penipuan dan pengkhianatan menyebabkan banyak orang takut kepadanya. Kitab Mujma’ al-Amthal karya al-Maidani banyak mendedahkan latar belakang Luqman Makan Cepat ini.


    Jadi, orang inilah yang dikenali sebagai Luqman Si Penelan, bukannya Socrates yang mati kerana meminum racun. Dia hidup lebih kurang 2000 tahun sebelum Socrates dan 1400 tahun sebelum Luqman al-Hakim. Semoga tidak ada pihak-pihak yang terkeliru lagi selepas ini.


    3. “Laqm” Bermaksud “Menelan”, Bukan “Meminum”


    Kemudian kita lihat dengan teliti perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan” itu. Perbuatan “menelan” memang tepat kena pada perbuatan menelan benda-benda kasar seperti nasi, roti, buah dan sebagainya. Namun perkataan “menelan” kurang sesuai untuk perbuatan meminum cecair.


    Jika kita memasukkan sesuatu CECAIR ke dalam mulut dan melepasi kerongkongan, perbuatan itu tidak dikatakan menelan, tetapi lebih tepat disebut meminum. Orang yang mementingkan bahasa (lebih-lebih lagi bangsa Arab yang berbahasa Arab) tidak akan menyebut “menelan air” tetapi menghirup air, meneguk air, meminum air dan seumpamanya.


    Jadi Socrates meminum racun hemlock (daripada akarnya), bukannya menelan racun. Maka perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan” itu tidak kena dengan diri Socrates. Yang menelan itu ialah Luqman Makan Cepat yang terkenal dengan kegelojohannya, bukan Socrates.


    4. Selepas Mati Baru Dinamakan “Luqman”?


    Satu lagi perkara yang mesti kita beri perhatian ialah hubungan antara peristiwa Socrates mati meminum racun dengan nama “Luqman” (menelan) yang cuba dikaitkan dengannya. Al-Quran biasa memberikan nama ataupun gelaran kepada seseorang ketiak orang itu masih hidup. Contohnya Abu Jahal, Zulqarnain, Dzun Nun dan lain-lain.


    Jika benar Socrates diberikan nama “Menelan”, sejak bilakah nama itu diberikan kepadanya? Mustahil nama itu diberikan sebelum dia mati menelan racun kerana ketika itu dia BELUM MENELAN racun lagi. Maksudnya nama “Menelan” itu diberikan selepas dia mati meminum racun. Padahal Luqman al-Hakim dikenali sebagai Luqman ketika dia masih hidup lagi.


    Jelas di sini menunjukkan Socrates tidak ada kaitan dengan “menelan” ataupun “Luqman”.


    KESIMPULAN KECIL


    Berdasarkan empat hujah yang diberikan di atas iaitu:


    Kaedah “Mungkin, Mungkin dan Mungkin” tidaklah cukup untuk dijadikan sandaran.
    Nama “Luqman” yang bermaksud “menelan” itu sebenarnya ditujukan kepada seorang tokoh Arab zaman silam yang gelojoh ketika makan. Tidak ada kaitan langsung dengan Socrates.
    Socrates “meminum” racun, bukannya “menelan”. Perbuatan menelan kurang sesuai digunakan untuk menceritakan perbuatan memakan sesuatu cecair melainkan pepejal.
    Luqman al--Hakim dikenali sebagai Luqman ketika dia masih hidup. Socrates dikenali sebagai Luqman (menelan) hanya selepas dia mati. Mana mungkin dia dikenali sebagai Luqman.

    … ternyata Luqman al-Hakim bukanlah Socrates. Kaedah linguistik yang digunakan untuk menyamakan Luqman al-Hakim dengan Socrates ternyata salah dan gagal.



    RUJUKAN

    “Lelaki Misteri Dalam Al-Quran, Kisah Luqman al-Hakim & Kebijaksanaannya” karya Muhammad Khair Ramadhan Yusuf. Terjemahan Ibnu Ghazali. Jasmin Enterprise. Cetakan Keempat 2008.

    http://id.wikipedia.org/wiki/Hud

    http://en.wikipedia.org/wiki/Socrates

    http://abuhaekal.wordpress.com/2007/08/12/kaum-aad-dan-ubar/

    http://en.wikipedia.org/wiki/Luqman

    http://inmystery.blogspot.com/2010/03/tanaman-paling-berbahaya.html

    http://ms.wikipedia.org/wiki/Linguistik



    Abu Zulfiqar Amsyari (Alexanderwathern)

    6 MEI 2010




    http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/05/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bahagian.html

    Admin
    Admin

    Posts : 63
    Join date : 2011-12-23
    Location : Perak Darul Ridzuan

    Luqman Al-Hakim Bukan Socrates (bah. 2)

    Post  Admin on Fri Dec 30, 2011 2:03 pm

    LUQMAN AL-HAKIM HIDUP PADA ZAMAN YANG MANA?

    Ibnu Kathir : “Dikatakan dia ialah seorang qadhi pada ZAMAN NABI DAUD as.”

    Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Mujahid : “Dia (Luqman) ialah seorang qadhi dalam kalangan kaum Bani Israil pada ZAMAN NABI DAUD as.”

    Al-Alusi : “Kebanyakan pendapat mengatakan dia hidup pada ZAMAN NABI DAUD as.”

    Al-Qurtubi : “Kami diberitahu bahwa NABI DAUD as hanya BERTEMU DENGAN LUQMAN setelah baginda lanjut usianya.” (Maksudnya mereka berdua hidup sezaman)

    KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim tidak hidup pada zaman Socrates. Mereka hidup pada dua zaman yang berbeza, tidak saling bertemu, apatah lagi untuk dikatakan mereka berdua ialah individu yang sama. Berdasarkan sandaran-sandaran ini, Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Kita lihat pula sandaran-sandaran yang lain.


    APAKAH BANGSA LUQMAN AL-HAKIM?

    Ibnu Qutaibah : “Luqman ialah seorang hamba HABSYI kepada seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil. Kemudian dia dibebaskan dan diberikannya harta.”

    Pendapat yang mengatakan dia ialah seorang HABSYI ialah dari Ibnu Abbas dan Mujahid.

    As-Suhaili : “Luqman ialah orang NAUBAH (satu kaum kulit hitam Sudan) dari penduduk kota ‘Ielah.”

    Qatadah menukilkan, dari Abdullah bin Zubair : “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang diri Luqman?” Jabir menjawab : “Dia ialah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari KETURUNAN NAUBAH.”

    Khalid ar-Rab’i : “Luqman ialah seorang hamba HABSYI yang bekerja sebagai tukang kayu.”

    Al-Alusi : “Kebanyakan pihak mengatakan dia ialah seorang hamba HABSYI.”

    Said al-Musayyab : “Luqman ialah DARI SUDAN, Mesir.”

    Sufyan ath-Thauri mengatakan, dari Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang hamba HABSYI, bekerja sebagai tukang kayu. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

    Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyab dan Mujahid mengatakan Luqman berketurunan NAUBAH (kulit gelap Sudan), kakinya terbuka luas dan mempunyai bibir yang tebal.”

    Dari ‘Ataa’ bin Rabah, dari Ibnu ‘Abbas telah berkata : “Rasulullah saw bersabda : “Ambillah orang (bangsa) KULIT HITAM, kerana sesungguhnya tiga orang daripada mereka ialah dari kalangan penghulu ahli syurga – Luqman al-Hakim, An-Najashi dan Bilal.”

    KESIMPULANNYA, bangsa Luqman al-Hakim tidak sama dengan bangsa Socrates. Luqman al-Hakim juga tidak berasal dari tempat asal Socrates. Berdasarkan sandaran-sandaran setakat ini, Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Nampaknta perbezaan antara mereka berdua semakin ketara. Kita smabung lagi dengan sandaran-sandaran seterusnya.


    DI MANAKAH MAKAM LUQMAN AL-HAKIM?

    Hassan al-Basri : “Luqman telah membina sebuah singgahsana di RAMLAH, SYAM. Pada masa itu, tempat tersebut masih lagi belum dibangunkan. Dia berada di sana sehinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”

    Ibrahim bin Adham : “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara MASJID AR-RAMLAH dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di tempat itu terdapat 70 kubur nabi-nabi sebelum Luqman...”

    Kitab Ruhul Bayan : “Kuburnya (Luqman) berada di desa Sharfanad, lambAng bagi KOTA AR-RAMLAH, dari hasil usaha orang Palestin dan ada tanda di atasnya.”

    Qatadah : “Kuburnya di AR-RAMLAH, di antara masjid Ar-Ramlah dan pasarnya.”

    KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim meninggal dunia dan dimakamkan di kota Ar-Ramlah, Syam. Padahal Socrates meninggal dunia di Athens dan dikebumikan di sekitarnya. Sandaran-sandaran ini juga membuktikan Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Belum cukup? Kita sambung lagi.


    APAKAH PEKERJAAN LUQMAN AL-HAKIM?

    Ibnu al-Jauzi memetik, dari Makhul, bahawa Luqman al-Hakim ialah seorang HAMBA kepada seorang lelaki dari kaum Bani Israil...”

    Ath-Tha’labi berkata: “Abdullah bin Husain telah memberitahu kami, dari Akramah, bahawa Luqman al-Hakim ialah antara HAMBA yang paling disenangi oleh tuannya.”

    Dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah bersabda : “Luqman bukanlah seorang nabi tetapi dia seorang HAMBA yang banyak berfikir...”

    Ibnu Abbas : “Luqman bukanlah seorang nabi ataupun raja, tetapi dia hanyalah seorang PENGGEMBALA ternakan yang berkulit hitam.”

    Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang PENGGEMBALA kambing.”

    Daripada Ibnu Hatim, dari Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya... “(Seorang lelaki terjumpa Luqman al-Hakim lalu berkata) Bukankah engkau HAMBA seorang dari bani fulan YANG MENGGEMBALA kambing ternakanku dulu?”

    Satu riwayat dari Ibnu Wahab yang ceritanya lebih kurang sama dengan cerita di atas tadi... seorang lelaki bertanya kepada Luqman , “Bukankah engkau Luqman, HAMBA Berian-Nuhas?”... “Dan engkau ialah PENGGEMBALA kambing yang berkulit hitam itukah?”

    Ibnu Qutaibah : “Luqman ialah seorang HAMBA Habsyi kepada seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil. Kemudian dia dibebaskan dan diberikannya harta.”

    Khalid ar-Rab’i : “Luqman ialah seorang HAMBA Habsyi yang bekerja sebagai tukang kayu.”

    Al-Alusi : “Kebanyakan pihak mengatakan dia ialah seorang HAMBA Habsyi.”

    Sufyan ath-Thauri mengatakan, dari Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang HAMBA Habsyi, bekerja sebagai tukang kayu. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

    KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim pernah jadi seorang hamba yang antara kerja yang diamanahkan kepadanya ialah menggembala kambing. Pernahkah Socrates jadi hamba yang menggembala kambing? Sandaran-sandaran ini mengukuhkan lagi pandangan bahawa Socrates bukanlah Luqman al-Hakim.


    BAGAIMANAKAH FIZIKAL LUQMAN AL-HAKIM?

    Mujahid : “Dia (Luqman) mempunyai dua bibir yang tebal, kedua-dua belah kakinya terbuka luas.”

    Amru bin Qais : “Luqman ialah seorang hamba KULIT HITAM yang mempunyai bibir tebal dan terbuka luas kedua-dua belah kakinya.”

    Mujahid : “(Luqman berkata kepada seorang lelaki yang memandangnya) Sekiranya engkau melihat diriku ini mempunyai dua bibir yang tebal, maka telah keluar daripadanya perkataan yang indah dan sekiranya engkau melihat diriku ini kerana HITAM LEGAM, maka hatiku ini putih bersih.”

    Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim, Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir, dari Ibnu al-Musayyab: “Sesungguhnya Luqman LEBIH HITAM daripada orang Sudan Mesir, mempunyai dua bibir yang tebal.”

    Satu riwayat dari Ibnu Wahab , seorang lelaki bertanya kepada Luqman , “Bukankah engkau Luqman, HAMBA Berian-Nuhas?”... “Dan engkau ialah PENGGEMBALA kambing yang BERKULIT HITAM itukah?”

    Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyab dan Mujahid mengatakan Luqman berketurunan NAUBAH (kulit gelap Sudan), kakinya terbuka luas dan mempunyai bibir yang tebal.”

    Qatadah menukilkan, dari Abdullah bin Zubair : “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang diri Luqman?” Jabir menjawab : “Dia ialah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari BERKETURUNAN NAUBAH”

    Ibnu Abbas : “Luqman bukanlah seorang nabi ataupun raja, tetapi dia hanyalah seorang penggembala ternakan yang BERKULIT HITAM.”

    KESIMPULANNYA, ciri-ciri fizikal Luqman al-Hakim sangat berbeza dengan cirri-ciri fizikal Socrates.


    KESIMPULAN BESAR UNTUK BAHAGIAN INI

    Luqman al-Hakim jauh berbeza dengan Socrates dari segi zaman hidup, bangsa/ keturunan, tempat asal, tempat meninggal dunia, lokasi makam, pekerjaan dan ciri-ciri fizikal. Kajian pada bahagian ini jelas menunjukkan Socrates bukanlah Luqman al-Hakim.

    Kita akan berpindah ke bahagian yang lain pula. Selepas ini kita akan meneliti KESEPAKATAN PARA ULAMA tentang Luqman al-Hakim. Bahagian itu nanti sangat penting dan akan mengukuhkan pandangan bahawa Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Sebagaimana yang kita sedia maklum akan kaedah... MUSTAHIL PARA ULAMA BERSEPAKAT DALAM SESUATU KESALAHAN.

    Para pembaca jangan terlepas bahagian ketiga nanti.



    Jumpa lagi insyaallah : )

    http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/08/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bah-2.html

    Sponsored content

    Re: Benarkah Socrates Itu Luqman Al-Hakim?

    Post  Sponsored content


      Current date/time is Sun Dec 17, 2017 2:56 pm